Jangan Percaya Pada Berita Tular Palsu

viral ikan telur beracun

Memang sikap netizen yang suka menularkan sesuatu berita agar nampak sensasi untuk mengaut populariti laman blog mereka. Ada berita yang betul tetapi banyak yang tidak sahih. Mereka lebih percaya pada kekuatan penceritaan berkenaan sesuatu topik.


Keburukan Berita Palsu

Sebagai contoh baru-baru ini tular mengenai ikan yang mempunyai telur beracun, produk tepung tidak halal dan mempunyai unsur peluntur beracun. Bermacam-macam berita yang menikam telinga kita tetapi sejauh mana kebenarannya tidak pula dikaji oleh mereka yang membacanya. Mereka yang menularkan berita tersebut seharusnya bertanggungjawab membuat sedikit kajian kes demi memastikan rakyat Malaysia tidak disajikan dengan berita palsu. Sudah jemu rasanya kita membaca berita-berita palsu yang saban hari memenuhi kotak Facebook, email, Whatsapp dan sebagainya.

viral ikan telur beracun

Telur Ikan Beracun (Kredit Imej : www.sebenarnya.com)

Jangan Percaya Pada Berita Tular

Kemajuan teknologi maklumat di sudut media sosial haruslah dimanfaatkan dengan baik agar platform tersebut dapat dijadikan sumber rujukan kepada seluruh pengguna. Hentikanlah tindakan tidak beretika yang mampu mengancam kestabilan emosi dan menjejaskan perpaduan.

Ancaman berita palsu ini harus disekat kerana memungkinkan apabila tiba satu peringkat yang tidak terkawal akan membangkitkan kesan paling buruk kepada kestabilan perpaduan sesebuah negara.

Bayangkan jika terdapat penularan berita palsu berkaitan pergaduhan antara kaum yang tertentu, sudah tentu permusuhan kaum yang sebenar akan terjadi dan terus merebak ke seluruh negara. Adakah ini yang kita mahukan?


Pujian harus diberikan kepada sebuah laman web yang telah mengumpul berita-berita tular dan membuat kajian mengenai kesahihan berita tersebut. Nama domainnya telah menggambarkan akan fungsi laman web tersebut iaitu sebenarnya.my.

laman web sebenarnya

Laman Web Sebenarnya.com

Bukan mudah untuk mengumpul dan membuat siasatan berkenaan sesuatu berita. Syabas buat pihak yang mengelolakan laman web sebenarnya.my. Berita yang ditampilkan nampak kemas dan terkini. Sekiranya anda berhasrat menularkan sesuatu berita, ada baiknya anda menjengah laman web tersebut untuk memastikan kesahihan sesuatu berita.

Kesimpulan

Tanamkan sifat bertanggungjawab dalam diri. Menularkan sesuatu berita itu boleh, tapi mestilah bertanggungjawab akan intipati berita tersebut. Jangan ambil mudah dengan hanya klik “Share” untuk menjadi penyebar berita yang popular. Populariti dalam bentuk yang sebegini tidak mendatangkan sebarang faedah, bahkan boleh mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat. Tapis dahulu berita yang diterima dan pastikan kesahihannya sebelum merancang menyebarkannya. Keburukan berita palsu amat ketara jika golongan remaja yang membacanya kerana mereka belum lagi berpengalaman berbanding orang dewasa. Hentikanlah menyebar berita selagi kesahihan belum diperolehi.

Please follow and like us:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *