Kebaikan dan Keburukan Media Sosial

applikasi media sosial

Pada dasarnya kelebihan dan keburukan media sosial adalah begitu subjektif bergantung kepada sejauh mana penerimaan seseorang dalam mentafsirkannya. Apa yang diklasifikasikan sebagai keburukan media sosial, mungkin tidak pula pada sesetengah golongan yang lain.

applikasi media sosial

Applikasi-applikasi Media Sosial

Kebaikan Media Sosial

Media sosial bukan hanya sebagai medan untuk seseorang mengisi masa lapang tetapi ia juga mampu memberikan kebaikan kepada individu atau pertubuhan, antaranya :


Komunikasi Tanpa Batas

Kelebihan yang ada pada media sosial mampu menghapuskan batasan jarak di antara golongan yang berinteraksi menggunakan media sosial. Bayangkanlah disaat ibubapa diulit rasa resah mengenangkan anak mereka di luar negara, kini telah mampu tersenyum kerana dapat berkomunikasi dengan anak-anak mereka samaada menerusi Facebook dan/atau FB Messenger mahupun melalui cabang-cabang komunikasi yang lain seperti Twitter, Tumblr dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu, komunikasi suara juga dapat dilakukan melalui applikasi Voice-Over-IP (VOIP) yang menggunakan talian broadband untuk menghantar “suara” seseorang ke pihak penerima.

Media sosial juga mampu menjadi platform untuk menjejaki rakan-rakan dan saudara-mara yang telah lama terpisah. Sebagai contoh, enjin rantaian friends of friend yang terbina didalam Facebook memungkinkan seseorang mencapai hasrat berhubung dengan seseorang yang dikehendaki.

Interaksi Dengan Golongan Terpilih

Sebagai pengguna internet, seseorang bebas memilih rakan-rakan internet atau apa yang dikenali sebagai netizen. Terdapat juga individu-individu netizen yang membentuk sebuah kumpulan yang dianggotai oleh mereka yang mempunyai minat yang sama. Antara contoh kumpulan yang dimaksudkan ialah penyokong pasukan bolasepak Chelsea, Arsenal, Liverpool dan sebagainya. Jika yang meminati bidang memasak boleh menyertai fan page masak-memasak. Laman web seperti Pinterest merupakan contoh yang terbaik berkaitan komunikasi dengan kumpulan yang meminati bidang yang sama.

Perkongsian Secara Langsung

Kerapkali seseorang memuat-naik gambar ke facebook sambil menerangkan maksud gambar tersebut dan berita status ini merebak dengan cepat ke seluruh dunia bergantung kepada berapa banyak post sharing yang dilakukan oleh mereka yang menatapnya.

Promosi Produk Semakin Mudah

Adalah amat malang sekali sekiranya seseorang ataupun sesebuah syarikat tidak menggunakan media sosial dalam proses kempen promosi mereka. Kos promosi melalui media sosial adalah amat rendah dan adakalanya sifar-kos. Maklumat mengenai produk boleh disasarkan ke golongan tertentu seperti peringkat umur, tahap pendidikan, jantina dan sebagainya. Sekiranya produk adalah baik, pengguna sudah tentu akan berkongsi pengalaman mereka di saluran media sosial mereka dan tulisan mereka akan dapat dibaca oleh semua rakan-rakan media sosial yang lain.

Platform Pencegahan Jenayah

Netizen suka berkongsi maklumat dan ini menjadikan sesuatu perkara itu tersebar dengan meluas dalam tempoh yang singkat. Sebagai contoh, kereta netizen telah dicuri kurang dari sejam yang lalu dan pemilik telah mengemaskini status Facebook dengan menyelitkan maklumat mengenai kereta mereka. Berita ini akan tersebar dengan pantas dan orangramai akan dapat membantu memaklumkan lokasi kereta tersebut sekiranya terserempak secara tidak sengaja.

Keburukan Media Sosial

Disebalik kebaikan-kebaikan media sosial dalam membantu kehidupan seseorang mahupun kepada kumpulan-kumpulan tertentu, terdapat juga keburukan media sosial sekiranya pengguna mengabaikan aspek-aspek moral dan keselamatan.

Komunikasi Terbatas

Jika dilihat dari sudut yang positif media sosial mampu menyediakan platform komunikasi tanpa batas akan tetapi keadaan yang sebaliknya mungkin berlaku apabila ketagihan menggunakan media sosial yang kini mampu dilayari menggunakan gajet telefon pintar menyebabkan seseorang kurang bercakap (ataupun tidak bercakap langsung) walaupun ketika keluar duduk semeja dengan rakan-rakan yang lain. Situasi ini akan nampak jelas kelihatan jika anda berada di restoran-restoran mamak yang menyediakan kemudahan WiFi. Individu yang duduk semeja bersama rakan-rakan sambil menikmati juadah lebih banyak menghabiskan masa menggunakan telefon pintar berbanding berbual dengan rakan-rakan yang lain. Amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan tempoh masa 10 tahun dahulu di mana perbualan di kedai-kedai makan tampak lebih meriah dan masing-masing sentiasa memandang antara satu sama lain ketika berbual.

Ikatan Kekeluargaan Semakin Longgar

Apakah yang anda buat di rumah ketika musim cuti sekolah bersama adik-beradik anda pada masa dahulu? Sudah pasti anda bermain indoor games seperti karom, catur, dam ular, saidina, sahibba dan sebagainya. Permainan-permainan tersebut tidak boleh dimainkan seorang diri. Adik-beradik akan bermain bersama-sama dan mengemas permainan bersama-sama setelah selesai bermain. Ini dapat memupuk semangat kekeluargaan dan saling bekerjasama antara anak-anak. Menjelang waktu petang ke semuanya akan bergegas ke padang untuk aktiviti outdoor games. Sudah outdoor games memerlukan lebih dari seorang pemain. Disamping itu aktiviti permainan luaran juga dapat menyihatkan badan. Pada zaman media sosial ini, anak-anak lebih banyak menghabiskan masa dengan komputer atau tablet ataupun smartphone dan lebih cenderung bersembang di alam siber dengan rakan-rakan yang lain. Semakin hari semakin longgar ikatan kekeluargaan yang akhirnya mungkin mendatangkan kesan negatif apabila menginjak usia.

Phishing Scams

Aktiviti scam ini agak sukar dibendung. Ianya perlu diatasi melalui aktiviti berterusan ingat-mengingati dan setiap pengguna melengkapkan sedikit ilmu berkaitan dunia teknologi maklumat dalam diri mereka. Terlalu kerap didengari mengenai mereka yang telah menjadi mangsa walaupun saban hari banyak berita-berita yang tersebar di media sosial berkenaan taktik scammers. Ramai juga antara pengguna internet atau netizen yang tidak memperdulikan mesej-mesej peringatan yang keluar di laman sosial. Mereka lebih gemar membaca berita-berita panas, gosip dan ayat power “Mahukah anda jika saya tunjukkan bagaimana saya menjana USD500 sehari tanpa modal?”. Ayat-ayat “power” memancing mangsa ini adakalanya muncul di laman sosial dan netizen memang mudah teruja mendengar kata-kunci “jana USD50” + “tanpa modal”. Melalui media sosial, scammers dapat mengetahui sasaran mangsa mereka berdasarkan kepada jantina, umur, minat netizen dan lokasi. Ini merupakan sebahagian data sahaja, sebenarnya lebih banyak data yang mampu dikutip kerana pada dasarnya maklumat profail netizen adalah berguna jika digunakan pada landasan yang betul untuk tujuan pemasaran produk. Sentiasalah memeriksa URL pada setiap link yang muncul di media sosial untuk mengelakkan dari terperangkap dalam aktiviti phishing.

Penyebaran Virus

Awas! Melalui media sosial juga penyebaran virus boleh berlaku sekiranya netizen tidak mengambil langkah berjaga-jaga sebelum memutuskan untuk memuat-turun sesebuah fail melalui link yang diberikan. Penyebaran virus melalui media sosial lebih mudah kerana ramai netizen yang suka berkongsi tentang sesuatu yang mereka suka. Mencipta virus komputer tidaklah sesukar manapun dan pengaktifan virus pada sesebuah fail biasanya tidak terjadi serta-merta. Pencipta virus akan meletakkan sebuah bom jangka yang hanya akan meletup pada satu tarikh yang tidak diketahui. Ini bertujuan untuk fail tersebut disebarkan sebanyak mana yang mungkin.

Penularan Berita Yang Tidak Benar

Seringkali kita dikejutkan berita-berita tergempar seperti selebriti telah meninggal dunia sedangkan selebriti tersebut masih hidup. Tujuan pereka cerita tersebut adalah untuk menjadikan media sosial mereka popular yang dikunjungi beribu pelawat dalam sekelip mata. Situasi begini mampu memberikan tekanan kepada keluarga selebriti tersebut. Tidak semena-mena keluarga mangsa akan dihujani dengan beratus-ratus panggilan telefon termasuklah sibuk melayani mesej-mesej bertanyakan kesahihan berita tersebut.
Terdapat juga kes-kes di mana berita mengenai sesuatu promosi produk diviralkan sedangkan pemilik produk tidak pernah mengadakan promosi dalam tempoh tersebut.

Penularan Berita Rekaan

Sesekali muncul berita mengenai musibah yang menimpa sesebuah keluarga ataupun organisasi dan kempen mengutip derma dijalankan bagi membantu mangsa. Nombor akaun bank akan dipaparkan bagi membolehkan orangramai memberikan sumbangan. Perlu berhati-hati sekiranya nombor akaun yang dinyatakan adalah milik individu.

Keruntuhan Moral

Media sosial banyak menyumbang kepada keruntuhan moral remaja. Pada usia yang muda mereka mungkin terdedah kepada bahan-bahan berunsur lucah sekiranya rakan media sosial mereka terdiri dari golongan yang rosak akhlaknya. Amat sukar menyekat aktiviti mereka seandainya telefon pintar diberikan oleh ibubapa. Sewajarnya telefon pintar hanya diberi setelah mereka mencapai tahap kematangan berfikir untuk menilai baik-buruknya setiap tindakan yang mereka ambil.
Ibubapa perlu memantau penggunaan komputer di rumah dan sebaik-baiknya komputer diletakkan di tempat terbuka bukannya didalam bilik anak-anak. Ini bertujuan untuk membantutkan niat mereka untuk menyeleweng dari maksud sebenar kepentingan komputer didalam pembelajaran mereka. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan komputer amat penting dalam akademik mereka kerana kebanyakan sekolah telah mula menggunakan applikasi Frog VLE (Virtual Learning Environment), sebuah projek dibawah 1BestariNet.

Jenayah Seksual Dan Penculikan

Penjenayah tidak pernah berputus-asa merancang secara terperinci untuk memerangkap mangsa dan seterusnya menculik mangsa. Netizen seharusnya lebih berhati-hati dengan siapa mereka berkomunikasi. Mereka yang berniat jahat sudah tentu menggunakan profail palsu mengenai diri mereka. Dalam sebuah rakaman video ringkas mengenai “child predators”, penjenayah menggunakan profail palsu dan berjaya memerangkap kanak-kanak berusia seawal 12 tahun untuk keluar berjumpa lelaki yang dipujanya.

Begitu mudahnya untuk menjalin hubungan di alam siber dan seterusnya berakhir dengan pertemuan sebenar.

Mengganggu Fokus Seseorang

Pernahkah anda melihat sebuah kereta yang sedang dipandu oleh seseorang dalam keadaan yang mencurigakan? Kereta bergerak ke kiri dan kanan seolah-olah tanpa pemandu. Tidak mustahil sekiranya anda merapati kenderaan tersebut dan mendapati pemandunya sedang sibuk menggunakan telefon pintarnya. Mereka adalah kalanya menaip mesej sambil memandu. Keadaan sebegini boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. Saksikan video ini yang menampilkan kesan buruk memandu sambil menggunakan telefon.

Kebaikan dan Keburukan Media Sosial

Bak kata pepata Melayu, tepuk dada tanyalah selera. Jika sesuatu yang baik itu digunakan untuk tujuan yang baik, maka baiklah hasilnya. Kita tidak boleh lari dari arus pemodenan teknologi yang telah berkembang dengan begitu pesat. Jika terlalu konservatif, maka tiadalah kemajuan dalam kehidupan. Sebagai contoh, dewasa ini pengguna telefon bimbit tidak gemar lagi menggunakan Short Messaging System (SMS), sebaliknya menggunakan applikasi penghantaran mesej seperti Whatsapp, WeChat, Skype, Google Hangouts dan sebagainya. Jika anda masih lagi tidak berganjak dari menggunakan telefon bukan pintar, maka, anda mungkin kurang sahabat di alam siber.


 

Please follow and like us:

Related Post

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *