Perbezaan Ijazah Sains Komputer dan Ijazah Teknologi Maklumat

bahasa pengaturcaraan

Ramai yang tertanya-tanya apa perbezaannya di antara Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat. Nampak macam sama tapi ianya berbeza. Tapi perbezaannya tidak nampak sangat apabila memasuki alam pekerjaan. Kedua-duanya masih menuju ke arah yang sama iaitu penggunaan sistem komputer dalam kerjaya mereka.

Aku seorang lulusan Sarjana Muda Sains Komputer. Jadi tentulah aku tahu sangat tentang apa yang dipelajari oleh pelajar jurusan ini. Di zaman aku dulu, pada semester pertama belum lagi merasa nak pegang komputer walaupun hati ini membuak-buak nak cuba rapat ke makmal. Apa yang ditekankan pada semester tersebut ialah matematik, matematik, matematik. Sebab itu matematik kena dapat kredit di peringkat SPM. Rata-ratanya student Sains Komputer memang power matematiknya, sama je taraf kepowerannya dengan student kejuruteraan. Kawan-kawan aku yang nampak sempoi je tapi matematik tambahan di peringkat SPM memang power, kebanyakannya C4 dan ke atas. Kalau tak silap aku, ada 8 subjek matematik pada 4 semester pertama.


Di semester 1 pula hanya ditekankan aspek pemahaman tentang menterjemahkan arahan komputer dalam bentuk carta-alir (flowchart). Puaslah melukis flowchart dari atas ke bawah, berpusing-pusing hingga terkeluar ke mukasurat sebelah. Naik jemu dibuatnya. Rasa macam kena tipu je sebab kata kursus Sains Komputer tapi bilanya nak guna komputer ni!!!

contoh flowchart

Contoh Carta-alir (Flowchart)

Lama-kelamaan barulah faham akan maksud yang tersirat. Pemantapan logik penyelesaian berkomputer itu amat penting melalui persembahan idea penyelesaian secara grafik flowchart. Dari situ pensyarah dapat menilai pemahaman pelajar menyelesaikan masalah sebelum dibawa ke kandang komputer.

Zaman dahulu, tahun 80-an harga sebuah PC atau personal computer amat mahal. Yang paling biasa-biasa paling kurang RM6000 berbanding dengan harga sekarang RM1300. Hanya orang ada-ada aje yang mampu belikan anak mereka sebuah PC. Yang lain memang kena berebutla tempah slot di makmal komputer. Seawal jam 7 pagi lagi dah ada student tercongok depan komputer di makmal. Lagi nak sampai tarikh akhir tugasan, lagi berebutlah rakyat universiti nak guna komputer.

Subjek Pengaturcaraan Komputer

Antara subjek pengaturcaraan komputer yang diajar pada waktu itu ialah :

  • BASICA – ini bahasa asas pengaturcaraan buat mereka yang baru belajar buat program.
  • Pascal
  • Assember – bahasa mesin paling lejen ni.
  • COBOL
  • FORTRAN
  • C
  • Bahasa Komputer Generasi Ke-4

 

buku pengaturcaraan komputer

Buku-buku Pengaturcaraan Komputer

Subjek komputer yang bukan melibatkan pengaturcaraan ialah :

 

  • MIS – Sistem Maklumat Pengurusan
  • Struktur Data
  • Kejuruteraan Perisian
  • Organisasi Data
  • Pangkalan Data
  • Komunikasi Data
  • Pengurusan Projek
  • Analisa Sistem dan Rekabentuk
  • Kepintaran Buatan

Subjek-subjek pengaturcaraan dan yang bukan pengaturcaraan yang di atas itu hanyalah sebahagian sahaja yang masih ada dalam ingatan aku. Sebenarnya ada beberapa lagi subjek komputer cuma ruang memori aku pada ketika ini telah agak penuh. Itu saja yang termampu aku keluarkan dari ingatan ini.

Perbezaan Ijazah Sains Komputer dan Ijazah Teknologi Maklumat

Pada zaman tu belum ada lagi kursus yang secara spesifik atas tajuk Teknologi Maklumat. Ianya adalah kursus yang lahir dari programme Sains Komputer. Apa yang aku perhatikan, kursus Teknologi Maklumat kurang belajar aspek pengaturcaraan, mereka lebih banyak didedahkan dengan penggunaan system development tools, contohnya multimedia tools. Mereka bukannya belajar untuk membangunkan tools multimedia tetapi akan didedahkan dengan tatacara menggunakan tools multimedia tersebut. Mereka akan diajar secara umum tentang penggunaan tools tersebut. Mana ada pensyarah ajar secara detail, hanya cikgu sahaja yang mengajar dengan detail. Selebihnya memang pelajar kena membiasakan diri mencari maklumat dan belajar sendiri atau berkumpulan. Sebenarnya ini semua untuk membentuk minda pelajar agar bekerja secara berkumpulan yang mana konsep yang sama akan berlaku di alam pekerjaan mereka nanti.

contoh bahasa pengaturcaraan C

Contoh Bahasa Pengaturcaraan C

 

Pernah aku ditugaskan untuk menyelia 2 orang bakal graduan Universiti Malaya dalam siri latihan industri mereka di sebuah bank di mana aku menjawat jawatan sebagai Analyst Programmer. Yang seorang belajar Sains Komputer dan seorang lagi Teknologi Maklumat. Aku memang bertanya kepada pelajar yang mengambil Teknologi Maklumat tentang apakah perbezaan ijazah sains komputer dan ijazah teknologi maklumat. Dia mengatakan pelajar Sains Komputer belajar banyak subjek berkaitan pengaturcaraan berbanding pelajar Teknologi Maklumat. Dari pemerhatian aku pula, memang nampak perbezaan antara kedua-duanya dalam memahami masalah yang perlu mereka selesaikan dengan membina sebuah mini sistem. Pelajar yang mengambil Sains Komputer dapat menterjemahkan penyelesaian ke dalam bentuk aturcara komputer dengan lebih pantas dan kemas susunan logik aturcaranya. Aturcaranya juga agak teratur dan mudah difahami. Manakala pelajar ijazah teknologi maklumat, kurang kemas susunan logik aturcaranya dan aku terpaksa menerangkan lebih terperinci akan keperluan sistem yang perlu diolah oleh program komputer. Pelajar ijazah teknologi maklumat juga agak perlahan dalam memahami user manual berkaitan bahasa pengaturcaraan yang digunakan.

Dari segi kekemasan program, aku memang agak cerewet sikit la. Program kena nampak kemas agar seseorang yang mengambil alih kerja kita dapat membaca program kita dengan mudah. Dibawah ini contoh program yang ditulis dalam bahasa pengaturcaraan PERL yang kemas dan mudah dibaca. Bahagian indentation perlu dititik-beratkan dalam menulis program.

contoh program yang baik

Contoh Program Yang Teratur Susunannya

Kesimpulan Mengenai Perbezaan Ijazah Sains Komputer dan Ijazah Teknologi Makluamat

Untuk lebih mudah memahami akan maksud perbezaan ijazah sains komputer dan ijazah teknologi maklumat ialah :


  1. Pelajar ijazah Sains Komputer belajar lebih banyak subjek-subjek berkaitan pengaturcaraan berbanding pelajar Teknologi Maklumat.
  2. Pelajar ijazah Sains Komputer belajar lebih banyak subjek Matematik berbanding pelajar Teknologi Maklumat kerana kemahiran ilmu Matematik banyak dipraktikkan didalam sesebuah pengaturcaraan.
  3. Pelajar sains komputer akan membuat program-program asas sesebuah applikasi seperti applikasi multimedia. Manakala pelajar teknologi maklumat akan menggunakan applikasi multimedia ini dengan memasukkan sedikit skrip-skrip tertentu dan kemudian terhasillah sebuah applikasi lain seperti applikasi panduan belajar pra-sekolah. Banyak applikasi peringkat pra-sekolah dihasilkan dari applikasi multimedia. Jika masih tidak faham lagi…kita ambil pula contoh Microsoft Excel. Pelajar sains komputer akan membangunkan perisian Excel manakala pelajar teknologi maklumat pula akan menggunakan Excel untuk penganalisaan data dengan memasukkan cebisan-cebisan scripting ataupun apa yang dipanggil sebagai Excel Macro bagi memudahkan sesiapa jua yang menggunakan dokumen Excel tersebut. Excel macro ialah cucu-cicit program komputer juga tetapi ianya lebih mudah untuk difahami oleh seseorang yang kurang kemahiran dalam bidang pengaturcaraan komputer.

 

 

Please follow and like us:

Related Post

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *