Tips Membeli Komputer Yang Perlu Anda Ketahui

yes or no

Rata-rata pengguna komputer tidak begitu mahir dalam pemilihan spesifikasi komputer yang bersesuaian dengan penggunaannya. Ringkasnya, lebih tinggi spesifikasi komputer maka lebih tinggi harganya.
Sudah tentu anda inginkan sebuah komputer yang murah tapi dapat memenuhi keperluan aktiviti pengkomputeran anda. Tidak perlu membeli sebuah kereta mewah sedangkan anda hanya perlukan sebuah kereta kecil untuk menghantar anak ke sekolah. Lebih kurang begitulah maksudnya.


Bagaimana Memilih Komputer Yang Bagus?

Saya membuka tajuk yang lebih besar iaitu “komputer”. Saya tidak mahu merujuk kepada laptop atau notebook ataupun netbook. Sebabnya hanya 1, iaitu kesemuanya adalah komputer. Bila menyebut “komputer” bermakna kita mengguna-pakai tips membeli komputer yang dinyatakan di sini untuk kesemua jenis komputer. Walaubagaimanapun komputer mainframe, mini-computer dan server komputer tidak termasuk dalam artikel Tips Membeli Komputer Yang Perlu Anda Ketahui.
Terdapat beberapa faktor yang perlu anda pertimbangkan dalam memilih sebuah komputer yang baik. Anda perlu bertanya kepada diri sendiri “Apakah tujuan anda memiliki komputer”.

Apakah Saiz Komputer Yang Bersesuaian?

Saiz tidak penting sekiranya anda ingin membeli sebuah desktop computer akan tetapi bagi penggemar laptop computer, ianya antara perkara yang wajib anda pertimbangkan. Terdapat berbagai saiz laptop berdasarkan pada saiz monitor. Saiz monitor didatangkan dalam saiz 11.6 inci sehinggalah 17.3 inci. Dalam pemilihan sebuah laptop yang bagus dan murah mestilah mempunyai saiz monitor sekurang-kurangnya 15.6 inci agar badan anda tidak terlalu dekat dengan laptop. Ini dapat mengelakkan kesakitan dibahagian bahu dan tengkuk jika terlalu lama menggunakan laptop kesan dari terlalu membongkok ketika melihat skrin.

student with laptop

Kesesuaian Jarak Badan dan Komputer

Apabila anda menjarakkan kedudukan dada dari laptop, kepala anda akan berada dalam kedudukan tegak dan seterusnya dapat menghindari masalah yang dinyatakan di atas. Bila skrin terlalu kecil, secara spontan anda akan merapatkan badan ke laptop untuk melihat dengan lebih jelas tulisan yang terpapar di skrin.

Adakah Jenama Itu Penting Dalam Pemilihan Komputer?

Agak subjektif bila membicarakan akan topik ini kerana setiap pengguna mempunyai tahap kesetiaan yang tinggi terhadap sesetengah jenama. Pada saya semua jenama adalah bagus, anda cuma perlu melihat dari perspektif apakah nilai-tambah yang diberikan oleh jenama-jenama komputer tersebut sekiranya kita bercakap dari segi kesemua jenama menawarkan spesifikasi hardware yang sama. Perbandingan perlulah adil dan jelas umpama membandingkan epal dengan epal bukannya epal dan durian.

Anda perlu melihat apakah perisian yang terpasang di komputer tersebut. Bukan setakat perisian sahaja, versi perisian juga perlu diambilkira. Contohnya, jenama A menawarkan Windows 7 tetapi jenama B menawarkan Windows 10. Jenama A menawarkan MS Office dalam versi yang agak baru tetapi jenama B menawarkan MS Office dalam versi yang lebih lama dari jenama A.

Kemungkinan juga bagi jenama yang berbeza, menawarkan pilihan perisian berlesen yang berbeza. Ada yang menawarkan perisian anti-virus percuma selama 1 tahun. Kemungkinan penjual merupakan reseller untuk produk anti-virus dan ini membolehkan mereka memberikan tawaran secara pakej terhadap komputer yang dijual.


Berapa Lama Tempoh Jaminan Yang Diberikan?

Lihat juga dari segi tempoh jaminan yang diberikan. Ada jenama yang memberikan jaminan sehingga 2 tahun. Mereka dilihat berani mempertaruhkan produk mereka kerana mungkin mereka begitu yakin bahawa produk mereka tahan lasak dalam apa jua bentuk penggunaan. Sekiranya anda seorang yang selalu ke luar negara, periksa apakah jenis jaminan yang diberikan. Adakah jaminan itu hanya di Malaysia sahaja atau adakah ia jaminan yang boleh diguna-pakai di luar negara?

Adakah Desktop Lebih Sesuai Berbanding Laptop?

Mudah untuk menjawab persoalan ini. Sebenarnya ia bergantung pada jenis penggunaan sesebuah komputer. Sekiranya ia banyak digunakan sewaktu berada diluar rumah atau pejabat, maka, laptop lebih sesuai untuk dibawa ke mana-mana. Desktop computer terlalu besar untuk digendong ke sana ke mari. Namun jika anda seorang kaki game komputer, komputer desktop adalah jawapannya. Komputer gaming terbaik kebiasaannya dimonopoli oleh rangkaian komputer desktop. Ini kerana setiap komputer yang menggunakan kad grafik dalam spesifikasi yang tinggi, amat mudah panas dan rekabentuk desktop yang mempunyai banyak ruang kosong didalam kotaknya membolehkan kipas dapat bekerja secara efektif. Suhu panas yang dihasilkan oleh komputer dapat berlegar dengan selesa didalam kotak komputer desktop dan akhirnya suhu panas tersebut dapat disedut keluar dengan lebih berkesan. Berbanding laptop yang dibina secara padat, keseluruhan keyboard, CPU, memori, kipas dan sebagainya terletak pada bahagian yang bersebelahan di antara satu sama lain dan ini menghasilkan haba panas yang terperangkap di badan laptop tersebut. Untuk menjamin tahap hidup sesebuah laptop, ia mestilah ditutup (off) setelah menggunakannya sekitar 8 jam. Kerapkali kedengaran laptop bermasalah selepas setahun dua menggunakannya dan ini berkait-rapat dengan tempoh masa penggunaannya secara berterusan. Komputer desktop pula boleh terus digunakan tanpa henti asalkan ruang bilik tidak panas dan mempunyai aliran penghawa dingin yang mencukupi.

desktop laptop

Kesesuaian Ruang Desktop dan Laptop

Dari segi persediaan untuk meningkatkan keupayaan komputer, desktop mempunyai kelebihan kerana ia mempunyai barisan slot yang tersedia untuk menerima tambahan harddisk, kad grafik, kad audio dan sebagainya. Ia boleh diumpamakan sebuah blok pangsapuri yang telah tersedia unit-unit kosong untuk didiami. Blok pangsapuri itu umpama sebuah kotak desktop manakala unit-unit pangsapuri umpama slot-slot yang terdapat dalam kotak desktop tersebut. Berbanding laptop, tiada apa yang anda boleh lakukan untuk tujuan upgrade kerana ia tidak mempunyai ruang kosong. Jika ingin menambah harddisk yang lebih besar, anda perlu menggantikan harddisk sedia-ada ataupun menggunakan external harddisk dengan kabel USB.

Adakah Memori Komputer Anda Mencukupi?

Ini perlu diambilkira sewaktu ingin membeli sebuah komputer. Sekiranya selepas anda menggunakan komputer baru, anda masih belum berpuashati dengan tahap kelajuannya, besar kemungkinan saiz memori tidak bersesuaian dengan bidang kerja anda. Contoh, sekiranya anda banyak menggunakan banyak perisian/applikasi yang dibuka serentak, ini dapat melemahkan keupayaan komputer untuk melayan kesemua perisian/applikasi yang dibuka. Untuk lebih jelas lagi, memori komputer dipanggil RAM yang bermaksud Random-Access Memory.

computer memory RAM

Random Access Memory (RAM)

Ianya sebuah ingatan sementara yang digunakan oleh pemproses untuk tujuan melakukan sebarang perlaksanaan proses, bergantung kepada perisian yang dibuka. Sekiranya anda memainkan audio lagu di external harddisk dan dalam masa yang sama anda bermain sebuah permainan komputer di DVD, kedua-dua perisian ini (perisian video dan game) akan mengisi slot memori secara perkongsian. Pemproses akan menyusun-atur perkongsian tersebut dan berlakulah apa yang dipanggil delay (tertangguh) terhadap perisian tersebut. Di bahagian perisian tersebut mungkin akan keluar mesej loading atau buffering. Hanya data-data yang telah berada di memori komputer sahaja yang akan dimainkan/dipaparkan kepada anda. Selepas kesemua data-data di memori komputer habis diproses (dimainkan/dipaparkan kepada anda), pemproses akan membaca petikan data yang berikutnya dari DVD dan external harddisk dan seterusnya dimainkan/dipaparkan kepada anda. Proses ini akan berulang sehingga tiada lagi data yang perlu dibaca dari DVD dan external harddisk. Selepas anda menonton video dan bermain video tersebut, data-data ini tidak lagi diperlukan oleh pemproses dan ianya akan dibuang dari memori komputer dengan serta-merta dan pemproses menunggu untuk melaksanakan tugas yang berikutnya.

Oleh yang demikian, penggunaan memori yang besar dapat membantu melancarkan urusan pemproses dalam melaksanakan tugasnya. Namun memori yang besar berkait-rapat dengan harga sesebuah komputer. Lebih besar memori lebih tinggi harga komputer tersebut.

Apakah Kepentingan Pemproses?

Pemproses komputer (computer processor) boleh disamakan dengan otak manusia. Otak manusia yang hebat mampu melaksanakan urusan kerja dengan cekap dan pantas. Otak manusia ini juga berkait-rapat dengan ingatan yang mampu disimpannya. Lebih banyak ingatan yang mampu disimpan oleh otak, menjadikan otak lebih cekap memproses setiap ingatan tersebut dalam masa yang singkat. Begitulah juga kaitannya dengan pemproses (processor) dan ingatan komputer (RAM). Ia saling memerlukan antara satu sama lain. Jika komputer anda mempunyai pemproses yang tinggi spesifikasinya dan RAM yang besar, maka, komputer dapat bekerja dengan lebih lancar.


Di pasaran komputer pada hari ini, anda akan dapati lambakan model pemproses yang menawarkan pemproses dalam bentuk multiple cores. Secara mudahnya multiple cores bermaksud sebuah pemproses yang terbahagi kepada beberapa unit. Unit-unit ini adalah unit-unit logikal sahaja. Jika dibuka badan komputer tersebut, anda hanya dapat melihat satu pemproses yang terpasang tetapi didalam pemproses tersebut ianya terbahagi kepada beberapa bahagian. Sebuah komputer yang mempunyai pemproses single-core berkelajuan 2GHz adalah lebih perlahan berbanding komputer yang mempunyai pemproses quad-core 2GHz. Jika pemproses terpaksa melakukan 4 kerja secara serentak, komputer dengan pemproses quad-core akan mampu melakukan kerjanya dengan lebih laju kerana pengagihan kerja bagi setiap core akan dilakukan terlebih dahulu.

computer processor

Bentuk Pemproses Komputer (Processor)

Walau bagaimanapun, jika ada komputer yang mempunyai 4 pemproses secara berasingan dengan setiap pemproses berkelajuan 2 GHz, ianya jauh lebih laju berbanding komputer yang mempunyai 1 pemproses dengan quad-cores. Ia boleh diumpamakan sebuah komputer yang mempunyai 4 otak fizikal. Apa yang perlu diperhatikan ialah berapa banyak pemproses dan selepas itu barulah melihat kepada berapa core setiap pemproses.

Terdapat sebuah laman web yang menjalankan sedikit kajian mengenai kelajuan pemproses dari segi :

  • Integer Maths Test
  • Compression Test
  • Prime Number Test
  • Encryption Test
  • Floating Point Math Test
  • Extended Instructions Test
  • String Sorting Test
  • Physics Test
  • Single Threaded Test

Anda boleh melayari laman web cpubenchmark untuk maklumat lanjut.

Adakah Saiz Harddisk Itu Penting?

Secara dasar jawapannya adalah “Ya”. Di zaman yang serba canggih ini, kepentingan komputer sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Dengan kemunculan perisian/applikasi dalam versi terkini, menjadikan penggunaan ruang harddisk semakin meningkat kerana setiap versi terkini mempunyai ciri-ciri terbaru dan saiz perisian tersebut juga semakin membesar sejajar dengan versinya. Pada zaman ini, kita tidak perlu risau akan saiz harddisk yang masih tinggal kerana harga seunit harddisk semakin murah. Tidak cukup dengan internal haddisk, kita boleh menambah external harddisk melalui sambungan kabel USB. Penggunaan external harddisk tidak dapat dielakkan kerana saiz perisian/applikasi semakin hari semakin besar. Mengimbas kembali di zaman awal kemunculan komputer peribadi, saiz harddisk adalah sekitar 40Mb sahaja. Ianya mencukupi kerana saiz perisian/applikasi jauh lebih kecil berbanding sekarang. Pada zaman tersebut, sistem pengoperasian komputer masih lagi dalam bentuk MS-DOS. Sistem MS-DOS tidak memerlukan ruang harddisk dan memori yang besar.

harddisk inside

Bahagian Dalam Sebuah Kotak Harddisk

Pada ketika ini terdapat kategori harddisk yang dipanggil SSD (Solid State Drives). Harddisk ini menggunakan teknologi flash memory iaitu senibinanya menggunakan binaan litar bersepadu atau semi-konduktor untuk menyimpan data. Dengan kaedah memori flash, data-data dapat dibaca dengan pantas berbanding bacaan data dari sebuah cakera.

Mampukah Kad Grafik Yang Sedia-ada Memenuhi Keperluan Anda?

Secara ringkasnya, imej yang anda lihat di skrin komputer terhasil dari kombinasi titik-titik halus yang dipanggil piksel. Lebih banyak piksel yang mampu dihasilkan setiap 1 inci dipanggil dot per inch. Imej akan jadi lebih jelas dan tajam sekiranya banyak piksel digunakan pada setiap inci skrin. Dalam mengenalpasti sebuah komputer yang baik dari segi paparan grafiknya, anda perlu melihat pada spesifikasi komputer tersebut berkaitan grafik iaitu samada ianya integrated atau dedicated.

computer graphic card

Kad Grafik Komputer

Integrated graphic bermaksud fungsi grafiknya terbina didalam pemproses komputer tersebut dan ianya amat bergantung kepada memori komputer. Kelemahannya di sini ialah ia sedikit mengganggu kelancaran sesebuah komputer yang juga terpaksa melakukan proses-proses lain dalam masa yang sama. Perlu diingat bahawa setiap proses yang dilakukan oleh komputer, memerlukan pemproses menggunakan ruang memori yang sedia-ada. Anda akan mudah mengetahui perkara ini jika anda cuba bermain game komputer dan dalam masa yang sama komputer juga sedang sibuk memainkan lagu dari pemacu DVD.

Dedicated graphic pula bermaksud, ia didatangkan dengan kad grafik yang mempunyai pemprosesnya sendiri. Rasanya tidak perlulah dihuraikan dengan terperinci mengapa dedicated grafik jauh lebih baik dari integrated grafik. Melalui penggunaan dedicated grafik, segala urusan berkaitan grafik akan diuruskan oleh pemprosesnya sendiri dan menggunakan memorinya sendiri. Tidak ada istilah perkongsian di sini dan pemproses komputer boleh memfokuskan penggunaan memori untuk urusan proses-proses yang lain.

Anda boleh melayari laman web VideoCardBenchmark untuk melihat senarai ranking kad grafik.

Adakah Komputer Mempunyai Kad Bunyi (Sound Card)?

Antara komponen lain yang perlu diambilkira, adakah komputer yang ingin dibeli mempunyai kad bunyi. Kad bunyi bukannya satu kemestian untuk memainkan audio kerana papan induk (motherboard) komputer mempunyai keupayaan untuk memainkan lagu yang anda gemari melalui komponen audio yang terbina di atas sesebuah papan induk. Walaubagaimana pun audio yang dihasilkan oleh sebuah komputer tanpa kad bunyi terlalu rendah kualitinya. Bunyi yang dihasilkan kurang jelas atau apa yang dipanggil desiran bunyi asing yang juga masuk ke dalam sistem audio tersebut.

computer sound card

Kad Bunyi Komputer

Dengan penggunaan kad bunyi, komputer dapat menghasilkan sebuah audio yang amat ketara kualiti bunyinya. Kualiti bunyi yang dihasilkan hampir menyamai kualiti yang dihasilkan oleh sebuah radio. Kad bunyi mempunya komponen yang berikut :

  • Digital to Analog Converter
  • Analog to Digital Converter
  • Antaramuka bagi penyambungan ke papan induk iaitu melalui Peripheral Component Interconnect (PCI)
  • Penyambung Input dan Output bagi tujuan penyambungan ke speaker dan mikrofon.

Lain-lain Perkara Yang Perlu Diambilkira

Selain dari apa yang perlu anda fokuskan dalam pemilihan komputer yang telah dihuraikan di atas, perkara yang berikut juga amat penting untuk diambilkira.

  • Jenis USB – Dapatkan komputer yang mempunyai banyak port USB dan mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 1 port USB 3.0. Seperti selalunya setiap versi yang lebih tinggi mempunyai kelebihan berbanding versi sebelumnya. USB versi 3.0 menawarkan kadar pemindahan data selaju 4.8 Gbps berbanding 480 Mbps bagi versi USB 2.0.
  • Bilangan port USB – Lebih banyak port USB lebih bagus. Banyak peranti aksesori seperti mouse, kipas USB, pengecas telefon, external harddisk dan sebagainya yang memerlukan port USB. Tambahan pula, penggunaan hub USB tidak mampu menggerakkan external harddisk kerana kekurangan kuasa elektrik untuk menggerakkannya. Saya pernah mencuba hub USB yang disambungkan ke 2 external harddisk dan hasilnya kedua-dua external harddisk tersebut tidak berfungsi.

Kesimpulan Dalam Memilih Spesifikasi Komputer

Jika diturutkan kata hati sememangnya kita inginkan sebuah komputer yang hebat dari segi spesifikasinya namun faktor harga menjadi halangan. Secara ringkasnya, faktor yang perlu dipertimbangkan sebagai panduan membeli komputer ialah :

  • Saiz Komputer
  • Jenama
  • Tempoh Jaminan
  • Desktop atau Laptop
  • Memori Komputer
  • Jenis Pemproses (Processor)
  • Saiz dan Jenis Harddisk
  • Kad Grafik
  • Kad Bunyi
  • Ciri-ciri Lain

Berbelanjalah dengan bijak. Kenalpasti tujuan penggunaan komputer dan pilih spesikasi yang sesuai dengan tahap penggunaannya. Semoga maklumat di atas bermanfaat. Jumpa lagi di artikel yang lain.

Please follow and like us:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *